----- ASSALAMUALAIKUM & SELAMAT DATANG KE SHINJU D'BLOGGUE ----- hak cipta adalah terpelihara.. sebarang rujukan atau pertanyaan boleh diajukan di waniali.catail@gmail.com atau tinggalkannya di kotak KOMEN ye ^^... SELAMAT MEMBACA :)

Jumaat, 9 Februari 2018

WARKAH YANG HILANG

Aku, seorang anak yang lain dari yang lain daripada adik-beradikku yang lain. Aku  seorang anak yang agak ‘mendengar kata’ dan sering mengalah dengan nasihat dan teguran mak dan abah. Aku cenderung berahsia kalau-kalau mak dan abah tidak suka aku melakukan sesuatu perkara seperti menunggang motosikal dengan melebihi had laju. Selain itu, aku turut menjadi bodekan kakakku yang kuat cemburu dengan layanan abah dan mak terhadapku. Mak aku kata, aku senang dibela. Tidak suka meminta-minta. Oleh itu, aku sering ‘diberi’ oleh kedua-dua orang tuaku, meskipun tak dipinta. Sehingga umurku 20 tahun pun, abah aku masih membeliku baju tidur yang mempunyai gambar kartun. Aku tidakbanyak bicara dan aku juga tidak malu dengan pemberian itu, aku pakai sahaja. Ini membuatkan adik-beradikku terasa yang aku ini seperti anak emas yang sering diberi perhatian walaupun sudah dewasa. Kadangkala, aku rasa itu adalah kelebihan yang ibu bapa berikan kepadaku berbanding saudaraku yang lain atas sebab aku yang bersifat agak kelainan daripada mereka semua.
Keluarga aku turut membela seekor anak kucing, Meow yang berbulu lembut dan lebat tetapi matanya agak berbonjol keluar. Kucing ini bersama dua ekor lagi adik beradiknya, dia bulunya bercorak seakan-akan harimau bewarna hitam manakala adik beradiknya bewarna oren dan satu lagi berbulu corak campuran antara hitam, putih dan oren. Berbanding adik-beradiknya yang lain, Meow seekor yang sangat aktif dan suka mengikut kami ke mana-mana sahaja. Ya, sangat setia walaupun kami sebenarnya bukan tuannya. Meow dan adik-beradiknya sudah kematian ibunya akibat kemalangan berhadapan dengan rumahku dan mungkin kerana kurang ‘kasih sayang’ daripada ibu mereka, maka ia menjadi sebahagian dalam keluarga aku. Pada asalnya, kucing itu tiada nama, maka aku pun menamakan dia Meow kerana sering ‘meow, meow, meow’ untuk meminta makanan, bermain, dimanjakan, tidur dan sebagainya.
Kadang-kadang, aku cemburu dengan kehidupan Meow dan adik-beradiknya, acap kali aku memerhati gelagat dia bila bersama dengan saudara-saudaranya yang comel itu bersama. Mereka saling menggigit ekor masing-masing dan berlawan dengan menaiki belakang saudara sendiri tanpa sebarang bunyi. Sangat comel. Aku menggambarkan kehidupan aku dengan adik-beradikku pun juga begitu, tapi apakan daya. Dari kecil tidak terbiasa bermanja sebegitu, bila sudah meningkat usia baru terfikir hendak bermanja sebegitu rupa. Alamatnya, mungkin akan dikatakan aku sudah bunag tabiat agaknya. Aku ketawa sendiri. Aku hanya mampu melihat dan sempat merakam aksi comel mereka bertiga di telefon bimbit, sangat mencuit hati dan menenangkan.
            Cerita hilang ini sebenarnya berkisarkan tentang kehidupan aku dan orang yang aku sayang. Bagaimana hidupku berubah 360 darjah! Ia sangat bermakna dan bermanfaat, dan setiap kali aku teringat akan kisah ini, air mata pasti jatuh ke bumi. Ini adalah silap yang tak kuduga yang akan aku lakuakan dalam seumur hidup aku. Ingin aku kongsikan cerita ini bersama kalian sebagai renungan dan tauladan untuk kita bersama.  Ini bukan kisah dongeng atau fantasi atau adaptasi daripada telenovela di televisyen. Ini tentang hidup, cinta dan air mata. Aku yakin, setiap orang yang melalui detik yang hampir sama dengan aku, pasti akan terkesan dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Ini yang pertama dan terakhir!
Ini kisah tentang aku dan mak. ada orang kata aku anak mak, tapi aku menyangkal sebab muka aku lebih ke arah abah kerana kulit aku yang sedikit gelap. Bagi aku, mak seorang yang sangat tegas dan garang berbanding abah yang lebih lembut dan bersahaja, tetapi jelas di sudut hati, aku tahu yang mak begitu sayangkan aku dan adik-beradik sama rata, begitu juga kasih sayang daripada seorang abah. Mungkin disebabkan aku sudah terbiasa dan selesa mengikut kata-kata daripada mak membuatkan orang mengejekku ‘anak mak’. Dari zaman sekolah sehinggga masuk kolej pilihan mak sememangnya pilihan aku. sampaikan hendak mencari teman lelaki pun, aku lebih suka mak yang carikan, kerana aku tahu pilihan mak yang terbaik dan lebih terbaik untukku.
Sehingga suatu hari, aku di tahun ke-dua kolej. Waktu itu, aku sedang berada dalam cuti semester selama empat bulan. Aku melakar matlamatku untuk aktiviti sepanjang cuti panjang ini. Kerja. Ya, kerja adalah motif utama. Apa-apa pun yang terjadi, aku mesti bekerja kerana inilah satu-satunya peluang keemasan yang mana aku tidak akan mendapat cuti lain sepanjang yang sama dengan cuti semester ini selepas ini.
Nak dijadikan cerita, aku sudah puas mencari pekerjaan sambilan di sekitar rumah dan bandar berdekatan dengan kediamanku, namun hambar. Mereka tidak mengambil pekerja yang hanya bekerja selama empat bulan. Pelbagai resume dihantar. Ada yang berkata samada aku sanggup bekerja pada hari raya nanti atau tidak, kerana mereka hanya kekurangan staf pada waktu raya. Aku tak mahu bekerja di pertengahan semester kerana perayaan itu jatuh pada pertengahan semester. Rugi. Lagi pula, aku juga ingin punya masa bersama keluarga dan rakan semasa raya nanti. Ada yang katanya hendak menelefon aku untuk mengesahkan jawatan itu kepadaku setelah ditemuduga, tetapi sampai sekarang aku tidak mendapat sebarang panggilan telefon daripada pihak tersebut. Aku bersangka baik yang pekerjaan itu mungkin bukan rezeki aku untuk menjawat jawatan pembantu pejabat itu walaupun aku pernah menjawatnya sebelum ini semasa cuti semester pertama yang lalu. 
. Namun, aku tidak berputus asa, aku mengambil keputusan untuk mencarinya di kawasan lain. Aku membawa adikku menemanimu untuk mencari kerja. Tiba-tiba, aku ternampak kedai runcit yang pernah kukerja dahulu. Tertulis di ditu, ‘jawatan kosong perempuan segera’ di cermin pintu hadapan kedai. Kedai runcit itu, aku pernah kerja dahulu sebelum aku sambung pelajaran ke kolej. Melihat iklan yang terpana itu, aku tersenyum lebar dan mula berfikir satu idea yang mungkin akan menyebabkan aku dalam masalah yang paling besar. Lantas, aku segera masuk ke kedai dan bersembang semula dengan staf baru yang bekerja di situ untuk mendapatkan maklumat terbaru tentang kedai itu. Aku keluar dari kedai dengan wajah ceria dan menyatakan hasratku kepada adikku untuk bekerja semula di situ. Aku memberi isyarat senyap kepada adikku supaya dia tidak membocorkan hasratku untuk bekerja di kedai runcit 24 jam itu kepada mak. Kenapa?
Inilah masalah besar yang aku fikirkan. Dahulu, mak pernah larang aku bekerja di situ, katanya bahaya sebab tak elok anak perempuan balik malam-malam. Tetapi, bila sudah tiada pekerjaan kosong lain pada waktu itu, mak aku ‘terpaksa’ membenarkan aku bekerja di situ semasa menunggu keputusan permohonaan ke kolej untuk menyambung pelajaran. Pada bulan pertama aku bekerja di situ, bila habis shift pukul 11 malam, kakak atau abang atau abah akan ikut di belakangku untuk memastikan aku selamat pulang ke rumah. Nampak bukan? Betapa mak sangat sayangkan aku walaupun umurku hampir mencecah 20 tahun pada waktu itu. Tetapi, lama-kelamaan aku dibiarkan pulang sendiri ke rumah walaupun pada waktu lewat malam, namun mak masih menunggu aku di dalam rumah. Mak takkan lena sebelum aku pulang. Sehingga aku berhenti bekerja dari situ pun, selepas aku mendapat tawaran belajar, mak masih mengingatkan aku supaya tidak pergi bekerja di situ lagi bila tiba cuti semester kerana mak masih tidak suka. . Itulah mak aku, jika ‘A’ maka ‘A’ lah jawabnya. Hatinya tak akan berbelah bahagi.
Suatu hari, adikku memberitahu hasratku untuk bekerja semula di kedai runcit tadi. Aku agak kesal dengan perbuatan adikku itu, tetapi aku lagi kesal dan rasa bersalah dengan diriku sendiri kalau aku berkerja secara senyap-senyap tanpa memberitahu mak. Inilah yang aku fikirkan jika aku benar-benar hendak mengelakkan diri daripada ‘masalah besar’ itu untuk bekerja di situ. Mak seperti biasa, mak memang tidak membenarkan aku bekerja di situ. Sudahku tahu, ia sesungguhnya mati-matian makku tidak benarkan. Aku kesal dan sangat kesal. Aku berbahas dengan diri sendiri, “perlukah aku menurut kata mak walaupun aku menjangkau umur 20 tahun? Aku juga ada hak menentukan hala tuju aku. Sampai bila aku nak ikut telunjuk orang? Dahulu boleh sahaja aku bekerja di situ, tetapi kenapa sekarang tidak?”
Berkali-kali aku menyatakan hasratku untuk bekerja di situ kepada mak kerana bagiku, inilah satu-satunya peluang aku untuk menambah pendapatan sebagai duit kocek kerana aku tidak mengambil pinjaman PTPTN atau memperoleh mana-mana tawaran pembiayaan dan biasiswa untuk menanggung kos pembelajaran. Kenapa? Ya, sebab aku ingin kurangkan beban kewangan kedua-dua orang tuaku. Aku yakin, aku boleh berdikari menggunakan duit hasil aku bekerja untuk bantu abah biaya yuran kolej. Aku suka cabar diri sendiri, yang aku boleh berdikari! Ya, aku boleh!
“Tak payah! Kerja tu dah la gaji tak seberapa, kerja sampai lewat malam pula. Hang tu dah la rabun malam. Carilah kerja lain, banyak kerja kosong di sekitar rumah”, kata mak aku membantah bila aku berkata ingin berkata semula di situ.
“Ala, ini last mak. lepas ni, cek tak mau dah kerja dekat situ. Cek dah cari kerja dah kat semua tempat. Semua tak mau ambik cek keja. Depa tak mau orang kerja sat-sat. Lagipun depa kebanyaknnya nak pakai orang time raya saja. Rugilah kalau cek kerja masa nak dekat habis cuti, mak. lagipun, daripada tak dapat apa duduk rumah, baik cek kerja, mak”, balas aku pula dengan nada yang agak tinggi sedkit.
“Mak kata tak boleh, tak boleh! Faham?”, balas mak marah. Api dibalas api, sampai kesudah masing-masing tidak mahu mengalah. Aku, remaja yang akan melangkah ke alam dewasa cukup tercabar dengan ‘perang oral’ antara aku dengan mak. Sejak aku mula menjejakkan kaki ke alam kolej. Bila berjumpa dengan rakan-rakan yang pelbagai ragam, aku mula belajar sesuatu yang baru dan yang tidak pernah aku lihat. Aku sudah merasakan aku sudah bebas bila tinggal berjauhan dari keluarga, itulah cabaran besar yang aku sedang tempuhi sehingga aku menulis manuskrip ini. Perjalanan aku, aku perlu dan mesti kawal supaya tidak mengulangi langkah yang silap kerana aku sedang dalam fasa membentuk sahsiah diri. Ingat! Waktu remaja adalah waktu kita membentuk sahsiah diri, kawal diri supaya tidak terpengaruh dengan adegan baru yang menggugat hati dan perwatakan yang negatif.
Sambung pada cerita tadi, aku menghempaskan kunci motor ke lantai. Agak jauh terpelanting. Entah kenapa, hatirku terasa merendidih. Jiwaku memberontak. Pelbagai monolog hati bertalu-talu mengeluarkan persoalan hati. ‘Sampai bila aku nak ikut cakap mak? Sampai bila aku nak buat sesuatu ikut kehendak orang? Aku pun ada matlamatku. Mak Cuma penghalang untuk aku capai titik manifestasi untuk masa ke hadapan. Adakah perlu aku pergi kerja senyap-senyap? Tapi, apa pula kata mak? Aku tahu, abah memang akan sentiasa menyokong apa yang aku buat. Abah sangat senang dibawa berbincang. Cuma, mak sahaja masalah utama’.  Aku perlukan budi bicara seorang ‘ketua’. Aku menangis sendiri mengenangkan nasib ‘dikongkong’ sebegini. Ah! Aku tak mengalah. Walau apa pun yang terjadi, aku mesti bekerja.
Keesokannya, aku cuba lagi untuk memujuk mak. Tapi, sayangnya impianku masih hambar. Mak masih dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan aku bekerja di tempat itu. Mak kata, mak sanggup menemaniku untuk mencari pekerjaan yang jauh lebih dekat, dan sememangnya mak benar-benar membawaku untuk mencari pekerjaan. Tetapi aku tetap sugul dan tidak bersemangat sepanjang ‘misi’ mencari pekerjaan itu kerana aku tahu, mana ada ‘jawatan yang dikehendaki’ di tempat yang dekat dengan rumahku itu pada waktu itu. Aku terus memujuk dan memujuk mak untuk membenarkan aku bekerja di kedai 24 jam tersebut. Tapi..
            Ah! Aku rasa serabut dengan diri sendiri. Aku sudah tidak tahan. Kakakku yang tinggal jauh, pulang waktu yang tidak kusangka bila mana aku sangat memerlukan seseorang untuk berbicara bersama tentang masalah aku. Aku ‘mengadu’ sikap mak tentang keinginan aku untuk bekerja. Aku tahu, mak ada di sebalik tangga, tengah memasang telinga mendengar perbualan kami berdua. Manakala aku dan kakakku di ruangan dapur sedang menikmati makan tengahari bersama. Aku sengaja berkata dengan nada yang jelas supaya mak dengar akan rinthan hati aku. inilah bermulanya episod duka aku bersama mak. Inilah punca dan permulaan cerita ‘hilang’ aku.
“Aku nak kerja kat kedai tu lah, tapi mak tak bagi. Aku nak buat apa duduk di rumah? Menghabiskan beras, membela lemak? Baik aku cari duit, boleh tolong mak abah sama. Tapi, masalahnya mak tak bagilah. Macamana ni?”, keluh aku kerana kekesalan. “Ala, kau pergi sahaja kerja. Mak mula-mula saja tak kasi. Tapi, lama-lama mak reda ja. Betul juga, baik kau pergi kerja. Ada juga manfaat daripada melengung ja dalam rumah”, balas kakakku. Tidakku sangka, sebenarnya kakakku menyokong aku. Aku berasa sedikit lega kerana ada orang memahami aku seadanya. Sekejap cuma, aku berasa puas.
            Terasa geli-geli di kaki bila Meow merendeh di kakiku. Aku mengangkatnya ke ribaku, aku membelainya. Terasa hangatnya tubuh Meow bila dalam belaianku. Dia menggigit-gigit tanganku. Aku melayannya sahaja walaupun pada mulanya agak menjengkelkan kerana lelehan air liurnya yang melekat pada kulit. Aku mengambil tulang ikan hasil sisa makan tengahari di lantai untuk Meow menjamu. Aku membiarkan dia turun ke bawah.
            Usai melayan si Meow tiba-tiba, mak bersuara dalam nada yang tidak tinggi dan tidak kuat. ‘Mak tak bagi hang kerja kat situ. Buat apa? Gaji dah la sikit. Jauh pulak tu nak balik pi mai pi mai. Kerja 8 jam, gaji tak padan. Minyak motor lagi’, kata mak aku dari tangga, kami tak nampak wajah mak tapi kami tahu sebab mak menjenguk ke arah kami dan jelas kelihatan rambut kerinting mak di sebalik dinding yang punya tangga rumah itu.
Aku membalas, ‘Mak, cek yang nak kerja bukannya mak. Lagipun senang nanti nak ambil adik balik dari sekolah sebab dekat. Mak tak payah susah-susah ambil adik sebab cek boleh ambil dan hantarkan”, kata aku memberikan alasan walaupun bukan itu sememangnya niat utama aku. Kakakku terus menyokong aku. “ Betul tu mak. Biarlah dekat dia. Dia kan dah besar. Dia tahu mana yang baik dan buruk. Inilah peluang dia untuk berdikari sendiri”, hujah kakakku pula menyokong aku.
Tiba-tiba hatiku rasa hiba. Tersentap seketika. Aku merasakan aku adalah ‘mak’ dalam situasi ini. Kenapa aku buat begitu? Perlukah aku membuat mak rasa ‘kalah’ dalam situasi ini? Dengan adanya ‘penyokong’ untuk membangkang segala maslahat dan tegahan mak. Aku tak pernah buat mak macam ni. Dan, aku tahu mak betul-betul kecewa dengan aku. Dadaku berat dan sesak. Aku berdebar memikirkan apakah yang mak akan kata? Oh mak, cek tak berniat pun nak kata begitu. Apa yang aku telah buat. Allah memutarkan hatiku untuk kembali sedar atas perlakuanku, sejujurnya inilah ‘masalah besar’ yang sebenar! Masalah ini berpunca daripada aku sendiri!
            Mak aku berdiam seketika dan membisu. “Tak apa. Baru mak tau, semua anak mak sama saja. Bela dari kecil sampai besar, kecil-kecil ikut cakap mak. Mai besar semua melawan, melawan, melawan. Semua melawan. Kalau dah nak sangat pi keja sana, pi lah. Aku tak kisah, hampa dah besar. Buatlah apa yang hampa suka. Masing-masing dah besar, dah boleh hidup sendiri. Anak derhaka semua ni. Penat aku mengandungkan. Kalau tahu beginilah perangai hampa bila besar, aku pun tak teringin nak bela. Buat apa? Buat sakit hati aku saja”, kata mak kekecewaan. Aku dan kakakku saling bertentangan.
Aku terkejut, inilah kali pertama aku mendapat jolokan ‘perkataan’ sebegitu dalam seumur hidup aku. Aku berdebar. Jantungku berdegup kencang. Jelas aku berdosa sebagai anak kerana menderhakai seorang mak. Aku menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri sendiri. Aku sengaja lalu di hadapan mak dan memerhati riak wajah mak sedalamnya, mak menunduk sedikit, mata kami tak bertentangan. Aku nampak mak mengelap mata mak yang seakan berkaca dan sedikit kemarahan seusai aku beredar dan memerhati dengan ekor mataku yang paling hujung. Aku berkata dalam hati, adakah mak menangis. Oh! Mak menangis sebab aku! Apa yang aku buat ni!?
            Aku berpura-pura tidak nampak riak wajah mak. Tapi hati ini benar-banar menjerit penyesalan dan memukul jiwa untuk meminta kemaafan daripada insan yang mengandungkan aku itu. Aku perlu buat sesuatu, hati seakan dirinding kekacauan kerana terasa sesuatu yang ‘putus’ dan ‘hilang’.
Sejak daripada itu, aku terasa kehilang sesuatu pada hari itu. Hilang. Mak dah tak seperti dulu. Mak sudah tidak endahkan aku. Aku serabut. Aku betul-betul ‘kehilangan’. Teramatlah jelas mak begitu kecewa dengan kata-kataku itu. Mak, ampunkan cek.
Disebabkan mak sudah beri kata putus, aku tetap dengan pendirianku dengan cuba untuk menghubungi majikan melalui aplikasi WhatsApp, bertanyakan tentang jawatan kosong itu. Syukur ke hadrat Allah kerana memang benar-benar masih ada kekosongan jawatan dan  majikanku masih sudi mengambilku sebagai pekerja. Pada masa yang sama, aku juga mendapat temuduga untuk pekerjaan di pasaraya yang aku minta dengan mak tempoh hari, tetapi lagi jauh dari tempat yang aku kerja. Di situ gajinya lagi lumayan tetapi pulang lewat pagi. Abah aku  lebih suka aku bekerja di kedai lama yang aku kerja dahulu.Tambahan pula, aku memang tetap dengan pendirian aku untuk pergi bekerja di tempat itu kerana lebih mudah sebab sudah tahu dan mahir tentang selok-belok etika pekerjaan di kedai runcit 24 jam itu sebagai seorang juruwang dan servis pelanggan.
Beberapa hari selepas kejadian itu, aku mula bekerja seperti biasa di kedai 24 jam tersebut. Aku puas kerana berjaya mencapai hasratku sepanjang cuti semester ini. Aku pergi ke kerja seperti biasa. Sepanjang aku bekerja pada cuti semester itu, aku tidak pernah langsung mendapat shift petang yang berakhir pada waktu tengah malam. Barangkali, itu rezeki aku kerana majikan sangat memahami aku kerana situasi dan keadaan aku yang tinggal jauh dari kedai dan mempunyai ibu yang sangat ‘overprotective’ itu. Tetapi, hatiku tetap rasa serba tak kena. Ibaratnya seperti layang-layang yang terputus talinya. Macam-macam yang terjadi sepanjang aku bekerja di sana. Antaranya, kedai yang kukerja itu telah dirompak.
Kedai yang aku kerja itu pada satu malam telah dirompak. Pagi itu, aku terkejut tengok ramai orang di depan kedai. Pintu cermin jatuh pecah dan berterabur di hadapan kedai. Aku tengok muka majikanku sugul dan tidak gembira. Manakan tidak, dia kerugian hampir RM1000 kerana pintu pecah dan barang jualan seperti rokok dan duit habis diambil penyamun. Mujur tiada siapa yang tercedera pada hari kedai disamun.
Sejak aku bekerja di situ, setiap kali selepas solat aku pasti teringat akan kata-kataku kepada mak tempoh hari. Dan secara tiba-tiba pasti air hangat mengalir di pipi tanpa aku sedari. Aku bandingkan dan hubungkaitkan dengan kejadian-kejadian yang berlaku pada diriku. Aku kesal sebenarnya dengan perbuatanku kepada mak. Terngiang-ngiang di telingaku, muka mak yang merah. Aku tinggikan suara sehingga menyakiti hatinya. Hati mak sudah berdarah dan terluka. Aku benar-benar terkilan dengan diriku sendiri. Benar dan benar. Aku perlu mencari ‘ubat’ untuk menyembuhkan parut di hati mak. Benar, lidah tidak bertulang, hanya diri sendiri mampu mengawal butir-butir bicara. Dan, aku telah gagal dalam melenturkan lidah untuk mengeluarkan kata-kata enak untuk bicara lebih-lebih lagi untuk berkata dengan seorang ibu.  Hidupku jadi serba-serbi mesti tidak kena. Ada sahaja masalah. Aku sedih sebab aku tak tahu cara bagaiman nak meminta maaf kepada mak. Tolonglah!
Aku seorang yang sangat pemalu, jika ingin mengatakan sayang, memang jauh sekali tetapi dalam hati ini memang aku benar-benar sayang akan mak. Setiap hari aku berfikir cara hendak memohon maaf kepada mak kerana aku betul-betul rasa berdosa dan terkesan dengan kata ‘anak derhaka’ oleh mak hari itu. Aku mula mendekati mak semula walaupun mak menjauhkan diri daripadaku. Sungguh aku terasa aku diasingkan jauh daripada emak. Aku bercakap dengan mak tetapi tiada respon daripada mak. Aku menolongnya masak di dapur tetapi mak langsung tidak melihat mukaku. Aku cuba bergurau senda dengannya tetapi tiada gelak tawa dari suara mak. Ibarat membuat persembahan jenaka seorang diri. Ya Allah, beratnya jiwa bila mak langsung tidak bertindak balas. Betul-betul terasa aku diasingkan. Aku tidak pernah rasa sebegini. Mak betul-betul kecewa yang teramat sangat terhadap aku. Aku buntu. Aku menangis tanpa lagu. Hari-hariku penuh dengan kebuntuan. Tidur malam aku tidak lena, makan aku tidak lalu. Kadang-kadang bawa motosikal ke tempat kerja pun boleh tersalah parkir di depan kedai orang lain kerana minda terawang oleh masalah aku dengan mak di rumah. Belum lagi di jalan raya, beberapa kali kena ‘hon’ dengan kereta kerana lambat jalan bila lampu sudah hijau.
Masuk kerja, aku langsung tidak menceritakan hal ini kepada majikan atau rakan sekerja atau rkan-rakan aku yang lain. Mereka sedar, aku punya masalah kerana sering termenung dan adakalanya aku mempunyai masalah duit ‘short’ sehingga berpuluh-puluh ringgit. Kerana bagiku, cukuplah cuma aku dan mak sahaja tahu tentang hal ini. Aku tidak mahu orang luar ikut campur. Aku lebih suka selesaikan masalah sendiri dan bercerita dengan orang yang paling dekat iaitu ahli keluargaku yang lain. Maafkan anakmu. Aku sangat-sangat berharap yang mak sedar yang aku sedang berusaha unuk meminta maaf kepadanya. Oleh sebab sikapku yang pemalu, membatasi waktuku untuk memulakan perbicaraan maaf. Aku berfikir, aku perlu cara lain yang lebih ampuh.
Aku betul-betul mati akal memikirkan soal mak. Aku seringkali berbicara sendirian lantas aku jumpa jalan yang terakhir. Aku baru bertemu ayat, ‘jangan bersedih sesungguhnya Allah bersamamu’. Benar, ini yang aku terlupa, betapa Allah sentiasa ada untuk hambaNya yang memerlukanNya. Jujur, aku ‘buta dan tuli’.  Aku lupa Tuhan yang mencipta setiap hamba di dunia hanya untuk beribadah dan sujud kepada Dia. Aku leka dengan dunia sehinga solat pun aku boleh terlupa rakaat kerana terlalu memikirkan soal dunia. Aku lupa dunia ini sementara, dan ia hanyalah cubaan yang perlu setiap makhluk tempuhi dan mengejar cinta Allah SWT dan kekasihnya, Rasulullah SAW.
Aku terpana di mimbar. Lalu, aku berdialog dengan  Allah kerana aku yakin hanya Dia yang mampu membantu. Setelah aku sendiri bertungkus lumus cuba memenangi hati mak tetapi tidak membuahkan hasil, dek mak sudah seperti anggap aku tidak wujud di dalam rumah. Jadi, Setiap kali selepas solat, aku berdoa agar Allah mempertemukan semula aku dengan mak yang dulu. Aku selalu memohon agar Allah kembalikan seri keibuan seorang ibu kerana aku rindu, kerana aku cinta ibuku, mak yang satu. Jika masa dapat diputarkan, ingin sahaja aku putar dan kembali. Jika masa lalu dapat dibeli dengan wang ringgit, aku sanggup membelinya walaupun terpaksa berhutang dengan Ah Long hanya untuk menjaga hati satu-satunya suri hatiku. Hanya mak punya restu dan reda yang sangat kuat untuk aku terus hidup dalam keberkatan dalam kasih sayang seorang mak selain abah. Mak yang utama, abah selamanya. Aku mahukan seseorang mendoakan aku, aku rindu suara  mak, aku rindu marah mak, aku rindu nasihat mak. benar, aku terlalu rindu.
Aku mula teringat waktu sekolah dahulu. Perjumpaan antara waris dengan anak yang ingin menduduki peperiksaan UPSR. Mak datang dan selepas ceramah motivasi, ada sesi maaf-memaafkan antara waris dan mak. Aku masih ingat dan terasa hangatnya dakapan kasih mak pada waktu itu bila kami saling memaafkan. Kami menangis bersama. Aku mencium tangan mak memohon kemaafan. Pakaian kami basah lencun dengan rendaman air mata. Ya, satu memori paling bermakna dalam sejarah hidup, bilamana keihlasan memohon kemaafan itu jelas terpancar dalam pelukan kasih yang bukan percuma dan kali pertama.
Teringat juga, bila saat aku dengan hobi aku yang suka menunggang motosikal dan berimpian untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi suatu hari nanti, mak sebenarnya tidak menghalang cita-cita itu, tetapi kadangkala mak marah bila tahu aku menunggang laju bila bermotosikal lebih-lebih lagi bila tiada pembonceng. Mak sering menjadi ‘mangsa’ aku untuk menongkatkan satu kaki motosikal kesayanaganku bewarna kelabu keluaran Honda untuk aku basuh dan gilap. Kami sering ketawa dan bergelak besar bila gagal menongkatkan motor disebabkan jisimnya yang berat dan ketidaksediaan aku untuk mengangkat motor kebelakang. Mak hanya menarik ke balakang. Namun, hasil kerjasama akhirnya dapat juga motor ditongkatkan. Itulah pengalaman yang paling aku tidak lupa kerana selalu berlaku bila aku hendak mencuci motor. Aku tersenyum sendiri.
Satu tabiat aku, bila mak ke kelas masakan, dan jika kami berselisih di jalanan. Bila sampai di rumah, mak akan menegur “kenapa kau bawa laju-laju? Kau tu perempuan”, kata mak. “cek bawa 80km/j sahaja”, kata aku sambil ketawa. Sejak peristiwa ditegur itu. Bila aku ‘ter’bawa dalam kelajuan yang tinggi dan dilihat oleh adik-beradikku yang lain, aku sering memancing mereka supaya merahsiakan perbuatanku daripada pengetahuan mak. Dan bila motor yang aku bawa sudah hampir berdekatan dengan kawasan rumah aku, aku akan memperlahankan kelajuan motosikal dan membawa seperti ‘perempuan’ yang cermat dan berhemah. Aku tak mahu mak akan marah jika mak tahu aku bawa laju, tapi aku suka kerana bagiku menunggang motosikal dapat menenangkan dan menghilangkan tekanan lebih-lebih lagi dalam kelajuan yang tinggi.  
Alangkah indahnya, jika masa itu dapat dikembalikan. Namun, apakan daya. Masa yang lalu dijadikan kenangan, masa hadapan kita perlu rancang untuk jadi lebih baik dan berfikian lebih matang untuk elak daripada maalah yang sama berlaku semula. Aku berjanji, saat aku berjaya mendapatkan maksemula, aku akan kembaikan memoti indah itu semula bagai rutin biasa misalnya mencuci motosikal dan bergurau senda serta memasak. Adanya unsur memori indah ini membuatkan ia kian giat menjelma di fikiranku bila aku menyambil sambil memejam mata di atas sjadah malam. Jantung berdegup kencang bila esakkan jiwa mengatakan rinduku sedang merintih. Kuatkan aku, Ya Tuhan. Aku tahu Kau bersamaku pada saat dan ketika ini. Saat aku buntu dan tagihkan ketenangan.
Aku memang tiada pilihan lain, melainkan berdoa,”Ya Allah, Kau buatlah apa sahaja asalkan aku dapat semula mak aku. Kau lembutkanlah semula hati mak. Aku rindu mak. Jika kau akan turunkan sesuatu ujian kepadaku hanya untuk mak sedar yang aku ingin memohon maaf kepadanya, dan jika itulah satu-satunya cara untuk mak maafkan aku, maka aku reda. Aku rela hati dan sanggup demi itu walaupun aku perlu bergadai nyawa. Aku rindukan perhatian dan kasih sayangnya. Bantulah aku. Aku mohon Ya Allah. Amin ya Rabball Alamin”, aku mengaminkan doa. Aku sujud lama mengharapkan pertolongan agung dariNya. Berharap agar Dia mendengar rintihan aku dan semoga mak terbuka pintu hatinya untuk memaafkan aku.
“Meow.. Meow..”
Seekor kucing tiba-tiba muncul di balik daun pintu bilikku. Anak kucing yang keluargaku jaga sejak maknya mati dilanggar itu seakan meminta izin untuk masuk ke kamarku. Meow datang menghampiriku dan merendeh ke sisiku, matanya berair. Dia seolah-olah sama seperti aku, barangkali dia merindui ibunya juga. Hibaku sedikit berkurangan bila melihatkan haiwan kesayangan Rasulullah ini. Cukup menenangkan jiwa.
Tiba waktu membeli baju raya baru pada hari itu. Ada jualan murah. Aku, mak abah dan adik-adikku turut serta untuk mencari baju raya sedondon pada tahun ini. Mak mencarikan baju untuk adik-adikku. Mak tidak memandang langsung wajahku. Aku memang tidak pandai memilih sesuatu barang. Kebanyak barang yang aku punya, adalah semuanya atas pilihan mak. “Mak, cek tak ada baju lagi”, kata aku. “Pergilah cari, dah besar kan”, kata mak. Luluh hati aku bila mak berkata begitu. Sesekali aku menyekat air mata daripada jatuh ke pipi da seringkali aku berlari mata daripada pandangan mak supaya mak dan ahli keluargaku tidak perasan. Aku sangat mudah kecil hati sama macam mak. aku berpura-pura mencari pakaian sendiri dan bertanya kesesuaian baju itu dengan abah. Abah mengiayakan. Aku sedikit lega dengan perhatian abah.
Anak kucing bewarna hitam kelabu berbaka dragon li itu sangat suka mencakar sofa rumah, kadang-kadang mak suka menghalaunya keluar kerana tidak suka bulu-bulu kucing melekat pada sofa. Mak terkadang terlihat membawa penyapu dan ligan kucing itu keluar dari rumah. Aku ketawa melihat gelagat mak dan anak kucing itu. Meow seekor yang sangat manja, suka menggigit tangan orang, suka menunjukkan perutnya, suka bermain tali. Meow sangat lincah. Memang, bulunya kadang-kala membuatkan hidung mak merah dan darahnya naik mendadak. Aku ketawa nakal.
Seusai subuh pada suatu hari itu, aku duduk seketika seperti biasa mengenang akan nasibku. Dan berfikir jalan keluar.
“Meow.. Meow.”
Ah, Meow datang. Pagi-pagi, waktu subuh mesti ada suaranya yang seakan merayu di tepi pintu bilikku, disebabkan pintu aku terbuka sedikit, belum sempat Meow masuk ke dalam. Aku menutup pintu. Aku tertekan. Sangat tertekan. Meow terus memanggilku seperti hendak bermain denganku dan duduk di sebelah aku seperti biasa. Aku menarik nafas dalam dan panjang. Aku menangis. Masih terdengar suara Meow di luar, semakin sayu. Aku tetap tidak membuka pintu. Lama-kelamaan, Meow sudah tidak kelihatan bila aku menjenguk di bawah pintu untuk memerhatikannya. Entah kenapa, pagi itu aku rasa malas hendak melayan Meow yang manja itu. Terasa aneh yang tak terkata.
Baki lagi dua minggu seluruh umat Islam akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Aku bersiap untuk bekerja pada hari itu, aku mengenakan T-shirt berlengan panjang dan jeans. Aku menggayakan tudung bawal crepe coklat ala-ala butterfly. Aku berkemas seperti anak dara sedikit hari itu, selalunya aku berpakaian sangat ‘simple’ dan bersahaja. Permulaan hari yang sedikit aneh bagiku, segala-galanya aneh. Bermula dari pagi harinya dengan tidak membuka pintu tatkala anak kucing jagaan keluargaku hendak masuk bilik sehingga ke pemakaian aku ke tempat kerja pada hari tu. Tapi aku mengendahkan saja. Aku memanaskan enjin motosikal kesayanganku seperti biasa sebelum mulakan perjalanan. Minyakku pulas sambil memerhati meter tangki minyak dan meter kelajuan.
            Haritu itu cerah tapi tidak terik, cuma agak mendung sedikit. Kebiasaanya, aku mengenakan sweater biru jenama Adidas, tetapi aku hanya memasukkan di raga motor untuk menyembunyikan beg mini dan bekal makanan untuk ke tempat kerja. Seperti biasa, aku bersalaman dengan mak, “cek pi dulu mak”, kata aku sambil kaki kanan melangkah keluar daripada rumah yang sudah kuanggap syurga ini. Mak mengikut aku sehingga pintu luar memerhati aku dari jauh. Usai aku memulaskan minyak, mak berlalu masuk ke dalam rumah. Selesai melihat aku membawa kenderaan ke tempat kerja, begitu rutin harian aku.
            Aku memperlahankan motor tetapi saat rumahku sudah terlindung daripada pandangan, aku memecut laju. Tidak laju mana, 80 km/j sahaja. Ketika itu, dari jauh aku terlihat dari satu meter kehadapan aku ternampak sebuah motosikal bergerak sangat perlahan di hadapanku, aku memotongnya. Aku sudah lewat ke tempat kerja. Lagi 10 minit untuk shift aku bermula. Tiba-tiba sebuah kereta meluru dari hadapan, kereta itu tersangat laju. Pacuan empat roda itu memasuki laluan bertentangan sedikit menyebabkan agakan ruang aku untuk memotong motor di hadapan menjadi sempit. Aku keliru, aku cuba untuk mengelak kereta tersebut dan pada masa yang sama aku sedang memotong motosikal di hadapan. Aku berjaya memotong motosikal tadi tapi, malangnya kereta pula yang melanggar di bahagian depan tayar motosikalku. Motor itu tadi aku berjaya potong dan mujurlah penunggang itu membawa perlahan dan berhenti. Kalau tidak, mungkin tiga kenderaan akan berlanggar. Memang satu kejadian tak dijangka berlaku, bila satu bunyi perlanggaran dan seretan jelas kedengaran.
“Boom!”
Aku terpelanting ke sisi jalan dan mujurlah di atas rumput. Motosikalku terseret sedikit di atas jalan. Kereta itu membrek kecemasan dengan bunyi bingit dan kesan tayar di jalan tar setelah aku dan motor mendarat. Enjin motorku semput-semput sebelum mati dia atas jalan. Orang yang menunggang motosikal yang aku potong tadi aku perasan memang berhenti  di seberang jalan. Aku terdengar suara-suara orang yang semakin mendekatiku. Barangkali, itu penunggang motor tadi dan yang membawa kereta tadi agaknya.
Pandangan mataku makin gelap. Jantungku laju. Aku teringatkan perbuatanku kepada mak dan setiap bait doaku di atas sejadah malam. Aku rasa, Allah telah memakbulkannya pada hari ini. Inilah ujian itu. Aku puas dan lega, kerana aku yakin yang selepas ini aku akan dapat lihat mak aku yang dulu. Terasa pedih dan sakit di kulit dan pandanganku terus gelap tetapi aku masih terdengar suara orang memanggilku. Aku terdengar suara Meow. Selepas itu, aku tak berdaya dan tidak sedarkan diri.
Di sekeliling mak kelihatan suasana yang putih bersih. “Mak maafkan. Tapi, jangan buat lagi. Nanti mak sedih sangat”, mak berkata dengan wajah sayu lalu aku memeluknya. Riak wajah ceria dan sayang jelas terpapar di wajah mak waktu itu. Aku menagis dalam dakapan hangat mak yang kurindu itu. Jelas terasa air mata mengalir. Aku mencium tangan mak. “Cek minta maaf, cek rindu mak sangat-sangat. Cek janji cek takkan buat lagi”, aku berkata dan mak mengangguk faham. Aku membuka mata, aku bermimpi rupanya. Aku melihat di sekelilingku satu tempat yang sangat asing dariku. Tangan kiriku ada jarum branula, dipasangkan drip air garam atau ‘Normal Saline 0.9%’ di situ. Di sisiku ada banyak pesakit. Mak di sisiku, terlena sambil memegang tanganku. Air mata mengalir tanpa sedar. Ya Allah, terima kasih!
Aku menggenggam tangan mak. Aku menepuk lemah lengan mak. Mak terjaga dari lena. Mak tersenyum. “Dah bangun anak mak. Nak air?”, soalan pertama mak ajukan kepadaku. Aku hanya menggeleng sambil tersenyum. Air mataku terus mengalir. Mak memelukku, dia mengusap-usap kepala aku. Aku bersyukur, mak sudah kembali.
Hampir dua minggu aku terlantar di hospital, mujur boleh balik beraya di rumah, kalau tidak aku terpaksa beraya dengan ‘baju hijau’. Aku cuma mengalami luka dan menerima 5 jahitan di lengan kanan serta retak tulang kaki. Aku mamakai plaster POP yang tidak membolehkan aku terkena pada air. Alhamdulillah, mak menjaga aku dengan penuh kasih sayang sepanjang aku sakit. Aku tersenyum, orang yang kurindu kini di depan mata. Ternyata, mak masih sayangkan aku. mak sudah tidak merajuk lagi dengan aku. Syukur pada Allah.
Kini, aku kembali sihat walaupun motor kesayangan aku ‘tidak sedap’ bila dibawa dan anak kucing jagaan keluargaku, Meow yang kami bela mati juga dalam kemalangan itu. Aku sedikit terkilan dengan pemergian Meow dengan secara tiba-tiba. Aku kehilangan Meow dan aku dapat mak dalam masa yang sama. Aku berfikir sendiri, ini adalah pelajaran dan episod hidup yang paling bermakna yang aku dapat dalam hidup. Setiap yang datang itu yang sementara adanya kebaikan dan di situnya jugalah adanya keburukan yang perlu kita nilai sewarasnya. Dewasa kata, pengalaman itu mematangkan pemikiran. Dari cerita itu juga, mengajarku erti sebuah penghargaan dan menghormati serta taat setia. Aku tersedar tentang adanya Tuhan Yang Maha Penyayang setelah ‘terhantuk’ oleh kebuntuan yang terlampau sehingga menyebabkan aku tertekan tentangnya. Magisnya dengan mengingati Allah, hati akan manjadi tenang. Benar, Islam itu penyelamat. Segalanya lengkap dalam semua aspek. Kisah aku itu membuatkan aku lebih menemui siapa Allah dan Islam itu sendiri. Bersyukurlah kita dilahirkan dalam kalangan orang yang beragama Islam tetapi kita tetap perlu cari nur untuk menerangi iman supaya menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa yang mukmin dan bukan orang Islam atas dasar agama yang tertera pada kad pengenalan sahaja.
Agama itu perlu dicari, kerana agama adalah sebuah ilmu makrifat dan panduan cara hidup yang  sampai bila-bila pun tidak akan habis dipelajari dek keluasan ilmu Allah. Allah itu Maha Bijaksana, Dia menurunkan suatu ujian kepada hambaNya hanya untuk hamba itu kembali sedar dan rujuk serta kembali kepada Allah, yang mencipta kerana Dia juga rindu dan sayang akan kita, bukan hendak membebankan kita. Senyumlah bila kau menghadapi ujian kerana kau sedang di’tawarkan’ dengan ganjaran pahala yang sangat besar kerana bersabar dan memohon pertolongan daripada Allah SWT tatkala dalam kesulitan.
Aku harap ini kali pertama dan terakhir aku mengguris hati mak. Aku berjanji kepada diri sendiri yang aku tidak mahu berbuat begitu lagi selepas ini. Aku tidak kisah sekalipun dilabel sebagai ‘anak mak’ kerana ini keistimewaan dan lubuk untuk aku terus mencintai mak dan jauhkan aku dari terus dan cuba lukai hati mak lagi. Aku belajar untuk lebih menghargai seperti Meow yang sentiasa dahagakan kasih sayang dan terus meninggalkan aku di saat aku mengabaikannya, pedih dan terasa tangis ini terasa hanya sia-sia. Bukan apa, setiap yang baik itu akan pergi, jadi hargailah semua yang ada samada ia baik atau buruk, sebab kau tidak akan pernah tahu pengakhirannya bagaimana dan impaknya kepada diri sendiri.

Akhir kalam, benarlah kata-kata mutiara, reda Allah terletak pada reda ibubapa. Dan ingatlah firman Allah SWT di dalam al Quran, surah Al-Isra’ ayat 23 hingga 24, “Dan Tuhanmu (Allah)  telah memerintahkan hendaklah kamu jangan menyembah selain dari Dia (Allah), dan hendaklah kepada kedua orang ibu-bapa berbuat baik dengan sempurna. Jikalau salah seorang dari ibu-bapamu atau keduanya sudah sampai kepada umur tua, janganlah sekali-kali kamu berkata, ‘Ah!’ kepada mereka. Dan jangan (pula) kamu menengking mereka. Dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang sopan (dan hormat)”(23). “Dan berbaktilah kepada keduanya dengan perasaan kasih sayang (yang mendalam) dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku (Allah) ! Kasihanilah keduanya (ibubapaku) sebagaimana mereka telah mendidikku sewaktu kecil”(24).