Aku, seorang anak yang lain dari yang
lain daripada adik-beradikku yang lain. Aku
seorang anak yang agak ‘mendengar kata’ dan sering mengalah dengan
nasihat dan teguran mak dan abah. Aku cenderung berahsia kalau-kalau mak dan abah
tidak suka aku melakukan sesuatu perkara seperti menunggang motosikal dengan melebihi
had laju. Selain itu, aku turut menjadi bodekan kakakku yang kuat cemburu
dengan layanan abah dan mak terhadapku. Mak aku kata, aku senang dibela. Tidak
suka meminta-minta. Oleh itu, aku sering ‘diberi’ oleh kedua-dua orang tuaku,
meskipun tak dipinta. Sehingga umurku 20 tahun pun, abah aku masih membeliku
baju tidur yang mempunyai gambar kartun. Aku tidakbanyak bicara dan aku juga tidak
malu dengan pemberian itu, aku pakai sahaja. Ini membuatkan adik-beradikku
terasa yang aku ini seperti anak emas yang sering diberi perhatian walaupun
sudah dewasa. Kadangkala, aku rasa itu adalah kelebihan yang ibu bapa berikan
kepadaku berbanding saudaraku yang lain atas sebab aku yang bersifat agak
kelainan daripada mereka semua.
Keluarga aku turut membela seekor anak
kucing, Meow yang berbulu lembut dan lebat tetapi matanya agak berbonjol
keluar. Kucing ini bersama dua ekor lagi adik beradiknya, dia bulunya bercorak
seakan-akan harimau bewarna hitam manakala adik beradiknya bewarna oren dan
satu lagi berbulu corak campuran antara hitam, putih dan oren. Berbanding
adik-beradiknya yang lain, Meow seekor yang sangat aktif dan suka mengikut kami
ke mana-mana sahaja. Ya, sangat setia walaupun kami sebenarnya bukan tuannya.
Meow dan adik-beradiknya sudah kematian ibunya akibat kemalangan berhadapan
dengan rumahku dan mungkin kerana kurang ‘kasih sayang’ daripada ibu mereka,
maka ia menjadi sebahagian dalam keluarga aku. Pada asalnya, kucing itu tiada
nama, maka aku pun menamakan dia Meow kerana sering ‘meow, meow, meow’ untuk meminta
makanan, bermain, dimanjakan, tidur dan sebagainya.
Kadang-kadang, aku cemburu dengan
kehidupan Meow dan adik-beradiknya, acap kali aku memerhati gelagat dia bila
bersama dengan saudara-saudaranya yang comel itu bersama. Mereka saling
menggigit ekor masing-masing dan berlawan dengan menaiki belakang saudara
sendiri tanpa sebarang bunyi. Sangat comel. Aku menggambarkan kehidupan aku
dengan adik-beradikku pun juga begitu, tapi apakan daya. Dari kecil tidak
terbiasa bermanja sebegitu, bila sudah meningkat usia baru terfikir hendak
bermanja sebegitu rupa. Alamatnya, mungkin akan dikatakan aku sudah bunag
tabiat agaknya. Aku ketawa sendiri. Aku hanya mampu melihat dan sempat merakam
aksi comel mereka bertiga di telefon bimbit, sangat mencuit hati dan
menenangkan.
Cerita
hilang ini sebenarnya berkisarkan tentang kehidupan aku dan orang yang aku
sayang. Bagaimana hidupku berubah 360 darjah! Ia sangat bermakna dan
bermanfaat, dan setiap kali aku teringat akan kisah ini, air mata pasti jatuh
ke bumi. Ini adalah silap yang tak kuduga yang akan aku lakuakan dalam seumur
hidup aku. Ingin aku kongsikan cerita ini bersama kalian sebagai renungan dan
tauladan untuk kita bersama. Ini bukan
kisah dongeng atau fantasi atau adaptasi daripada telenovela di televisyen. Ini
tentang hidup, cinta dan air mata. Aku yakin, setiap orang yang melalui detik
yang hampir sama dengan aku, pasti akan terkesan dan berazam untuk tidak
mengulanginya lagi. Ini yang pertama dan terakhir!
Ini kisah tentang aku dan mak. ada
orang kata aku anak mak, tapi aku menyangkal sebab muka aku lebih ke arah abah
kerana kulit aku yang sedikit gelap. Bagi aku, mak seorang yang sangat tegas
dan garang berbanding abah yang lebih lembut dan bersahaja, tetapi jelas di
sudut hati, aku tahu yang mak begitu sayangkan aku dan adik-beradik sama rata,
begitu juga kasih sayang daripada seorang abah. Mungkin disebabkan aku sudah
terbiasa dan selesa mengikut kata-kata daripada mak membuatkan orang mengejekku
‘anak mak’. Dari zaman sekolah sehinggga masuk kolej pilihan mak sememangnya
pilihan aku. sampaikan hendak mencari teman lelaki pun, aku lebih suka mak yang
carikan, kerana aku tahu pilihan mak yang terbaik dan lebih terbaik untukku.
Sehingga suatu hari, aku di tahun
ke-dua kolej. Waktu itu, aku sedang berada dalam cuti semester selama empat bulan.
Aku melakar matlamatku untuk aktiviti sepanjang cuti panjang ini. Kerja. Ya,
kerja adalah motif utama. Apa-apa pun yang terjadi, aku mesti bekerja kerana
inilah satu-satunya peluang keemasan yang mana aku tidak akan mendapat cuti lain
sepanjang yang sama dengan cuti semester ini selepas ini.
Nak dijadikan cerita, aku sudah puas mencari
pekerjaan sambilan di sekitar rumah dan bandar berdekatan dengan kediamanku,
namun hambar. Mereka tidak mengambil pekerja yang hanya bekerja selama empat
bulan. Pelbagai resume dihantar. Ada yang berkata samada aku sanggup bekerja
pada hari raya nanti atau tidak, kerana mereka hanya kekurangan staf pada waktu
raya. Aku tak mahu bekerja di pertengahan semester kerana perayaan itu jatuh
pada pertengahan semester. Rugi. Lagi pula, aku juga ingin punya masa bersama
keluarga dan rakan semasa raya nanti. Ada yang katanya hendak menelefon aku
untuk mengesahkan jawatan itu kepadaku setelah ditemuduga, tetapi sampai
sekarang aku tidak mendapat sebarang panggilan telefon daripada pihak tersebut.
Aku bersangka baik yang pekerjaan itu mungkin bukan rezeki aku untuk menjawat
jawatan pembantu pejabat itu walaupun aku pernah menjawatnya sebelum ini semasa
cuti semester pertama yang lalu.
. Namun, aku tidak berputus asa, aku mengambil
keputusan untuk mencarinya di kawasan lain. Aku membawa adikku menemanimu untuk
mencari kerja. Tiba-tiba, aku ternampak kedai runcit yang pernah kukerja
dahulu. Tertulis di ditu, ‘jawatan kosong perempuan segera’ di cermin pintu
hadapan kedai. Kedai runcit itu, aku pernah kerja dahulu sebelum aku sambung
pelajaran ke kolej. Melihat iklan yang terpana itu, aku tersenyum lebar dan
mula berfikir satu idea yang mungkin akan menyebabkan aku dalam masalah yang
paling besar. Lantas, aku segera masuk ke kedai dan bersembang semula dengan
staf baru yang bekerja di situ untuk mendapatkan maklumat terbaru tentang kedai
itu. Aku keluar dari kedai dengan wajah ceria dan menyatakan hasratku kepada
adikku untuk bekerja semula di situ. Aku memberi isyarat senyap kepada adikku
supaya dia tidak membocorkan hasratku untuk bekerja di kedai runcit 24 jam itu
kepada mak. Kenapa?
Inilah masalah besar yang aku fikirkan.
Dahulu, mak pernah larang aku bekerja di situ, katanya bahaya sebab tak elok
anak perempuan balik malam-malam. Tetapi, bila sudah tiada pekerjaan kosong
lain pada waktu itu, mak aku ‘terpaksa’ membenarkan aku bekerja di situ semasa
menunggu keputusan permohonaan ke kolej untuk menyambung pelajaran. Pada bulan
pertama aku bekerja di situ, bila habis shift
pukul 11 malam, kakak atau abang atau abah akan ikut di belakangku untuk
memastikan aku selamat pulang ke rumah. Nampak bukan? Betapa mak sangat sayangkan
aku walaupun umurku hampir mencecah 20 tahun pada waktu itu. Tetapi,
lama-kelamaan aku dibiarkan pulang sendiri ke rumah walaupun pada waktu lewat
malam, namun mak masih menunggu aku di dalam rumah. Mak takkan lena sebelum aku
pulang. Sehingga aku berhenti bekerja dari situ pun, selepas aku mendapat
tawaran belajar, mak masih mengingatkan aku supaya tidak pergi bekerja di situ
lagi bila tiba cuti semester kerana mak masih tidak suka. . Itulah mak aku,
jika ‘A’ maka ‘A’ lah jawabnya. Hatinya tak akan berbelah bahagi.
Suatu hari, adikku memberitahu hasratku
untuk bekerja semula di kedai runcit tadi. Aku agak kesal dengan perbuatan
adikku itu, tetapi aku lagi kesal dan rasa bersalah dengan diriku sendiri kalau
aku berkerja secara senyap-senyap tanpa memberitahu mak. Inilah yang aku
fikirkan jika aku benar-benar hendak mengelakkan diri daripada ‘masalah besar’
itu untuk bekerja di situ. Mak seperti biasa, mak memang tidak membenarkan aku
bekerja di situ. Sudahku tahu, ia sesungguhnya mati-matian makku tidak
benarkan. Aku kesal dan sangat kesal. Aku berbahas dengan diri sendiri, “perlukah
aku menurut kata mak walaupun aku menjangkau umur 20 tahun? Aku juga ada hak
menentukan hala tuju aku. Sampai bila aku nak ikut telunjuk orang? Dahulu boleh
sahaja aku bekerja di situ, tetapi kenapa sekarang tidak?”
Berkali-kali aku menyatakan hasratku
untuk bekerja di situ kepada mak kerana bagiku, inilah satu-satunya peluang aku
untuk menambah pendapatan sebagai duit kocek kerana aku tidak mengambil
pinjaman PTPTN atau memperoleh mana-mana tawaran pembiayaan dan biasiswa untuk
menanggung kos pembelajaran. Kenapa? Ya, sebab aku ingin kurangkan beban
kewangan kedua-dua orang tuaku. Aku yakin, aku boleh berdikari menggunakan duit
hasil aku bekerja untuk bantu abah biaya yuran kolej. Aku suka cabar diri
sendiri, yang aku boleh berdikari! Ya, aku boleh!
“Tak payah! Kerja tu dah la gaji tak
seberapa, kerja sampai lewat malam pula. Hang tu dah la rabun malam. Carilah
kerja lain, banyak kerja kosong di sekitar rumah”, kata mak aku membantah bila
aku berkata ingin berkata semula di situ.
“Ala, ini last mak. lepas ni, cek tak mau dah kerja dekat situ. Cek dah cari
kerja dah kat semua tempat. Semua tak mau ambik cek keja. Depa tak mau orang
kerja sat-sat. Lagipun depa kebanyaknnya nak pakai orang time raya saja.
Rugilah kalau cek kerja masa nak dekat habis cuti, mak. lagipun, daripada tak
dapat apa duduk rumah, baik cek kerja, mak”, balas aku pula dengan nada yang
agak tinggi sedkit.
“Mak kata tak boleh, tak boleh!
Faham?”, balas mak marah. Api dibalas api, sampai kesudah masing-masing tidak
mahu mengalah. Aku, remaja yang akan melangkah ke alam dewasa cukup tercabar
dengan ‘perang oral’ antara aku dengan mak. Sejak aku mula menjejakkan kaki ke
alam kolej. Bila berjumpa dengan rakan-rakan yang pelbagai ragam, aku mula
belajar sesuatu yang baru dan yang tidak pernah aku lihat. Aku sudah merasakan
aku sudah bebas bila tinggal berjauhan dari keluarga, itulah cabaran besar yang
aku sedang tempuhi sehingga aku menulis manuskrip ini. Perjalanan aku, aku
perlu dan mesti kawal supaya tidak mengulangi langkah yang silap kerana aku
sedang dalam fasa membentuk sahsiah diri. Ingat! Waktu remaja adalah waktu kita
membentuk sahsiah diri, kawal diri supaya tidak terpengaruh dengan adegan baru
yang menggugat hati dan perwatakan yang negatif.
Sambung pada cerita tadi, aku
menghempaskan kunci motor ke lantai. Agak jauh terpelanting. Entah kenapa,
hatirku terasa merendidih. Jiwaku memberontak. Pelbagai monolog hati
bertalu-talu mengeluarkan persoalan hati. ‘Sampai bila aku nak ikut cakap mak?
Sampai bila aku nak buat sesuatu ikut kehendak orang? Aku pun ada matlamatku.
Mak Cuma penghalang untuk aku capai titik manifestasi untuk masa ke hadapan.
Adakah perlu aku pergi kerja senyap-senyap? Tapi, apa pula kata mak? Aku tahu,
abah memang akan sentiasa menyokong apa yang aku buat. Abah sangat senang
dibawa berbincang. Cuma, mak sahaja masalah utama’. Aku perlukan budi bicara seorang ‘ketua’. Aku
menangis sendiri mengenangkan nasib ‘dikongkong’ sebegini. Ah! Aku tak mengalah.
Walau apa pun yang terjadi, aku mesti bekerja.
Keesokannya, aku cuba lagi untuk
memujuk mak. Tapi, sayangnya impianku masih hambar. Mak masih dengan pendiriannya
untuk tidak membenarkan aku bekerja di tempat itu. Mak kata, mak sanggup
menemaniku untuk mencari pekerjaan yang jauh lebih dekat, dan sememangnya mak
benar-benar membawaku untuk mencari pekerjaan. Tetapi aku tetap sugul dan tidak
bersemangat sepanjang ‘misi’ mencari pekerjaan itu kerana aku tahu, mana ada ‘jawatan
yang dikehendaki’ di tempat yang dekat dengan rumahku itu pada waktu itu. Aku
terus memujuk dan memujuk mak untuk membenarkan aku bekerja di kedai 24 jam
tersebut. Tapi..
Ah! Aku
rasa serabut dengan diri sendiri. Aku sudah tidak tahan. Kakakku yang tinggal
jauh, pulang waktu yang tidak kusangka bila mana aku sangat memerlukan
seseorang untuk berbicara bersama tentang masalah aku. Aku ‘mengadu’ sikap mak
tentang keinginan aku untuk bekerja. Aku tahu, mak ada di sebalik tangga,
tengah memasang telinga mendengar perbualan kami berdua. Manakala aku dan
kakakku di ruangan dapur sedang menikmati makan tengahari bersama. Aku sengaja
berkata dengan nada yang jelas supaya mak dengar akan rinthan hati aku. inilah
bermulanya episod duka aku bersama mak. Inilah punca dan permulaan cerita
‘hilang’ aku.
“Aku nak kerja kat kedai tu lah, tapi
mak tak bagi. Aku nak buat apa duduk di rumah? Menghabiskan beras, membela
lemak? Baik aku cari duit, boleh tolong mak abah sama. Tapi, masalahnya mak tak
bagilah. Macamana ni?”, keluh aku kerana kekesalan. “Ala, kau pergi sahaja kerja.
Mak mula-mula saja tak kasi. Tapi, lama-lama mak reda ja. Betul juga, baik kau
pergi kerja. Ada juga manfaat daripada melengung ja dalam rumah”, balas
kakakku. Tidakku sangka, sebenarnya kakakku menyokong aku. Aku berasa sedikit
lega kerana ada orang memahami aku seadanya. Sekejap cuma, aku berasa puas.
Terasa
geli-geli di kaki bila Meow merendeh di kakiku. Aku mengangkatnya ke ribaku,
aku membelainya. Terasa hangatnya tubuh Meow bila dalam belaianku. Dia
menggigit-gigit tanganku. Aku melayannya sahaja walaupun pada mulanya agak
menjengkelkan kerana lelehan air liurnya yang melekat pada kulit. Aku mengambil
tulang ikan hasil sisa makan tengahari di lantai untuk Meow menjamu. Aku
membiarkan dia turun ke bawah.
Usai
melayan si Meow tiba-tiba, mak bersuara dalam nada yang tidak tinggi dan tidak
kuat. ‘Mak tak bagi hang kerja kat situ. Buat apa? Gaji dah la sikit. Jauh
pulak tu nak balik pi mai pi mai. Kerja 8 jam, gaji tak padan. Minyak motor
lagi’, kata mak aku dari tangga, kami tak nampak wajah mak tapi kami tahu sebab
mak menjenguk ke arah kami dan jelas kelihatan rambut kerinting mak di sebalik
dinding yang punya tangga rumah itu.
Aku membalas, ‘Mak, cek yang nak kerja
bukannya mak. Lagipun senang nanti nak ambil adik balik dari sekolah sebab
dekat. Mak tak payah susah-susah ambil adik sebab cek boleh ambil dan hantarkan”,
kata aku memberikan alasan walaupun bukan itu sememangnya niat utama aku.
Kakakku terus menyokong aku. “ Betul tu mak. Biarlah dekat dia. Dia kan dah
besar. Dia tahu mana yang baik dan buruk. Inilah peluang dia untuk berdikari
sendiri”, hujah kakakku pula menyokong aku.
Tiba-tiba hatiku rasa hiba. Tersentap
seketika. Aku merasakan aku adalah ‘mak’ dalam situasi ini. Kenapa aku buat
begitu? Perlukah aku membuat mak rasa ‘kalah’ dalam situasi ini? Dengan adanya
‘penyokong’ untuk membangkang segala maslahat dan tegahan mak. Aku tak pernah
buat mak macam ni. Dan, aku tahu mak betul-betul kecewa dengan aku. Dadaku berat
dan sesak. Aku berdebar memikirkan apakah yang mak akan kata? Oh mak, cek tak
berniat pun nak kata begitu. Apa yang aku telah buat. Allah memutarkan hatiku
untuk kembali sedar atas perlakuanku, sejujurnya inilah ‘masalah besar’ yang
sebenar! Masalah ini berpunca daripada aku sendiri!
Mak aku berdiam seketika dan membisu.
“Tak apa. Baru mak tau, semua anak mak sama saja. Bela dari kecil sampai besar,
kecil-kecil ikut cakap mak. Mai besar semua melawan, melawan, melawan. Semua
melawan. Kalau dah nak sangat pi keja sana, pi lah. Aku tak kisah, hampa dah
besar. Buatlah apa yang hampa suka. Masing-masing dah besar, dah boleh hidup
sendiri. Anak derhaka semua ni. Penat aku mengandungkan. Kalau tahu beginilah
perangai hampa bila besar, aku pun tak teringin nak bela. Buat apa? Buat sakit
hati aku saja”, kata mak kekecewaan. Aku dan kakakku saling bertentangan.
Aku terkejut, inilah kali pertama aku mendapat
jolokan ‘perkataan’ sebegitu dalam seumur hidup aku. Aku berdebar. Jantungku
berdegup kencang. Jelas aku berdosa sebagai anak kerana menderhakai seorang
mak. Aku menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri sendiri. Aku sengaja lalu
di hadapan mak dan memerhati riak wajah mak sedalamnya, mak menunduk sedikit, mata
kami tak bertentangan. Aku nampak mak mengelap mata mak yang seakan berkaca dan
sedikit kemarahan seusai aku beredar dan memerhati dengan ekor mataku yang paling
hujung. Aku berkata dalam hati, adakah mak menangis. Oh! Mak menangis sebab
aku! Apa yang aku buat ni!?
Aku
berpura-pura tidak nampak riak wajah mak. Tapi hati ini benar-banar menjerit
penyesalan dan memukul jiwa untuk meminta kemaafan daripada insan yang
mengandungkan aku itu. Aku perlu buat sesuatu, hati seakan dirinding kekacauan
kerana terasa sesuatu yang ‘putus’ dan ‘hilang’.
Sejak daripada itu, aku terasa kehilang
sesuatu pada hari itu. Hilang. Mak dah tak seperti dulu. Mak sudah tidak
endahkan aku. Aku serabut. Aku betul-betul ‘kehilangan’. Teramatlah jelas mak
begitu kecewa dengan kata-kataku itu. Mak, ampunkan cek.
Disebabkan mak sudah beri kata putus, aku
tetap dengan pendirianku dengan cuba untuk menghubungi majikan melalui aplikasi
WhatsApp, bertanyakan tentang jawatan kosong itu. Syukur ke hadrat Allah kerana
memang benar-benar masih ada kekosongan jawatan dan majikanku masih sudi mengambilku sebagai
pekerja. Pada masa yang sama, aku juga mendapat temuduga untuk pekerjaan di
pasaraya yang aku minta dengan mak tempoh hari, tetapi lagi jauh dari tempat
yang aku kerja. Di situ gajinya lagi lumayan tetapi pulang lewat pagi. Abah aku
lebih suka aku bekerja di kedai lama
yang aku kerja dahulu.Tambahan pula, aku memang tetap dengan pendirian aku untuk
pergi bekerja di tempat itu kerana lebih mudah sebab sudah tahu dan mahir
tentang selok-belok etika pekerjaan di kedai runcit 24 jam itu sebagai seorang
juruwang dan servis pelanggan.
Beberapa hari selepas kejadian itu, aku
mula bekerja seperti biasa di kedai 24 jam tersebut. Aku puas kerana berjaya
mencapai hasratku sepanjang cuti semester ini. Aku pergi ke kerja seperti
biasa. Sepanjang aku bekerja pada cuti semester itu, aku tidak pernah langsung mendapat shift petang yang berakhir pada waktu
tengah malam. Barangkali, itu rezeki aku kerana majikan sangat memahami aku
kerana situasi dan keadaan aku yang tinggal jauh dari kedai dan mempunyai ibu
yang sangat ‘overprotective’ itu. Tetapi,
hatiku tetap rasa serba tak kena. Ibaratnya seperti layang-layang yang terputus
talinya. Macam-macam yang terjadi sepanjang aku bekerja di sana. Antaranya,
kedai yang kukerja itu telah dirompak.
Kedai yang aku kerja itu pada satu
malam telah dirompak. Pagi itu, aku terkejut tengok ramai orang di depan kedai.
Pintu cermin jatuh pecah dan berterabur di hadapan kedai. Aku tengok muka
majikanku sugul dan tidak gembira. Manakan tidak, dia kerugian hampir RM1000
kerana pintu pecah dan barang jualan seperti rokok dan duit habis diambil
penyamun. Mujur tiada siapa yang tercedera pada hari kedai disamun.
Sejak aku bekerja di situ, setiap kali
selepas solat aku pasti teringat akan kata-kataku kepada mak tempoh hari. Dan
secara tiba-tiba pasti air hangat mengalir di pipi tanpa aku sedari. Aku
bandingkan dan hubungkaitkan dengan kejadian-kejadian yang berlaku pada diriku.
Aku kesal sebenarnya dengan perbuatanku kepada mak. Terngiang-ngiang di
telingaku, muka mak yang merah. Aku tinggikan suara sehingga menyakiti hatinya.
Hati mak sudah berdarah dan terluka. Aku benar-benar terkilan dengan diriku
sendiri. Benar dan benar. Aku perlu mencari ‘ubat’ untuk menyembuhkan parut di
hati mak. Benar, lidah tidak bertulang, hanya diri sendiri mampu mengawal
butir-butir bicara. Dan, aku telah gagal dalam melenturkan lidah untuk
mengeluarkan kata-kata enak untuk bicara lebih-lebih lagi untuk berkata dengan
seorang ibu. Hidupku jadi serba-serbi
mesti tidak kena. Ada sahaja masalah. Aku sedih sebab aku tak tahu cara
bagaiman nak meminta maaf kepada mak. Tolonglah!
Aku seorang yang sangat pemalu, jika
ingin mengatakan sayang, memang jauh sekali tetapi dalam hati ini memang aku
benar-benar sayang akan mak. Setiap hari aku berfikir cara hendak memohon maaf
kepada mak kerana aku betul-betul rasa berdosa dan terkesan dengan kata ‘anak
derhaka’ oleh mak hari itu. Aku mula mendekati mak semula walaupun mak
menjauhkan diri daripadaku. Sungguh aku terasa aku diasingkan jauh daripada
emak. Aku bercakap dengan mak tetapi tiada respon daripada mak. Aku menolongnya
masak di dapur tetapi mak langsung tidak melihat mukaku. Aku cuba bergurau
senda dengannya tetapi tiada gelak tawa dari suara mak. Ibarat membuat
persembahan jenaka seorang diri. Ya Allah, beratnya jiwa bila mak langsung
tidak bertindak balas. Betul-betul terasa aku diasingkan. Aku tidak pernah rasa
sebegini. Mak betul-betul kecewa yang teramat sangat terhadap aku. Aku buntu.
Aku menangis tanpa lagu. Hari-hariku penuh dengan kebuntuan. Tidur malam aku
tidak lena, makan aku tidak lalu. Kadang-kadang bawa motosikal ke tempat kerja
pun boleh tersalah parkir di depan kedai orang lain kerana minda terawang oleh
masalah aku dengan mak di rumah. Belum lagi di jalan raya, beberapa kali kena ‘hon’
dengan kereta kerana lambat jalan bila lampu sudah hijau.
Masuk kerja, aku langsung tidak
menceritakan hal ini kepada majikan atau rakan sekerja atau rkan-rakan aku yang
lain. Mereka sedar, aku punya masalah kerana sering termenung dan adakalanya aku
mempunyai masalah duit ‘short’
sehingga berpuluh-puluh ringgit. Kerana bagiku, cukuplah cuma aku dan mak
sahaja tahu tentang hal ini. Aku tidak mahu orang luar ikut campur. Aku lebih
suka selesaikan masalah sendiri dan bercerita dengan orang yang paling dekat iaitu
ahli keluargaku yang lain. Maafkan anakmu. Aku sangat-sangat berharap yang mak
sedar yang aku sedang berusaha unuk meminta maaf kepadanya. Oleh sebab sikapku
yang pemalu, membatasi waktuku untuk memulakan perbicaraan maaf. Aku berfikir,
aku perlu cara lain yang lebih ampuh.
Aku betul-betul mati akal memikirkan
soal mak. Aku seringkali berbicara sendirian lantas aku jumpa jalan yang
terakhir. Aku baru bertemu ayat, ‘jangan bersedih sesungguhnya Allah
bersamamu’. Benar, ini yang aku terlupa, betapa Allah sentiasa ada untuk
hambaNya yang memerlukanNya. Jujur, aku ‘buta dan tuli’. Aku lupa Tuhan yang mencipta setiap hamba di
dunia hanya untuk beribadah dan sujud kepada Dia. Aku leka dengan dunia sehinga
solat pun aku boleh terlupa rakaat kerana terlalu memikirkan soal dunia. Aku
lupa dunia ini sementara, dan ia hanyalah cubaan yang perlu setiap makhluk
tempuhi dan mengejar cinta Allah SWT dan kekasihnya, Rasulullah SAW.
Aku terpana di mimbar. Lalu, aku
berdialog dengan Allah kerana aku yakin
hanya Dia yang mampu membantu. Setelah aku sendiri bertungkus lumus cuba memenangi
hati mak tetapi tidak membuahkan hasil, dek mak sudah seperti anggap aku tidak
wujud di dalam rumah. Jadi, Setiap kali selepas solat, aku berdoa agar Allah
mempertemukan semula aku dengan mak yang dulu. Aku selalu memohon agar Allah kembalikan
seri keibuan seorang ibu kerana aku rindu, kerana aku cinta ibuku, mak yang
satu. Jika masa dapat diputarkan, ingin sahaja aku putar dan kembali. Jika masa
lalu dapat dibeli dengan wang ringgit, aku sanggup membelinya walaupun terpaksa
berhutang dengan Ah Long hanya untuk menjaga hati satu-satunya suri hatiku. Hanya
mak punya restu dan reda yang sangat kuat untuk aku terus hidup dalam
keberkatan dalam kasih sayang seorang mak selain abah. Mak yang utama, abah
selamanya. Aku mahukan seseorang mendoakan aku, aku rindu suara mak, aku rindu marah mak, aku rindu nasihat
mak. benar, aku terlalu rindu.
Aku mula teringat waktu sekolah dahulu.
Perjumpaan antara waris dengan anak yang ingin menduduki peperiksaan UPSR. Mak
datang dan selepas ceramah motivasi, ada sesi maaf-memaafkan antara waris dan
mak. Aku masih ingat dan terasa hangatnya dakapan kasih mak pada waktu itu bila
kami saling memaafkan. Kami menangis bersama. Aku mencium tangan mak memohon
kemaafan. Pakaian kami basah lencun dengan rendaman air mata. Ya, satu memori paling
bermakna dalam sejarah hidup, bilamana keihlasan memohon kemaafan itu jelas
terpancar dalam pelukan kasih yang bukan percuma dan kali pertama.
Teringat juga, bila saat aku dengan
hobi aku yang suka menunggang motosikal dan berimpian untuk memiliki motosikal
berkuasa tinggi suatu hari nanti, mak sebenarnya tidak menghalang cita-cita
itu, tetapi kadangkala mak marah bila tahu aku menunggang laju bila
bermotosikal lebih-lebih lagi bila tiada pembonceng. Mak sering menjadi
‘mangsa’ aku untuk menongkatkan satu kaki motosikal kesayanaganku bewarna kelabu
keluaran Honda untuk aku basuh dan gilap. Kami sering ketawa dan bergelak besar
bila gagal menongkatkan motor disebabkan jisimnya yang berat dan ketidaksediaan
aku untuk mengangkat motor kebelakang. Mak hanya menarik ke balakang. Namun,
hasil kerjasama akhirnya dapat juga motor ditongkatkan. Itulah pengalaman yang
paling aku tidak lupa kerana selalu berlaku bila aku hendak mencuci motor. Aku
tersenyum sendiri.
Satu tabiat aku, bila mak ke kelas
masakan, dan jika kami berselisih di jalanan. Bila sampai di rumah, mak akan menegur
“kenapa kau bawa laju-laju? Kau tu perempuan”, kata mak. “cek bawa 80km/j
sahaja”, kata aku sambil ketawa. Sejak peristiwa ditegur itu. Bila aku
‘ter’bawa dalam kelajuan yang tinggi dan dilihat oleh adik-beradikku yang lain,
aku sering memancing mereka supaya merahsiakan perbuatanku daripada pengetahuan
mak. Dan bila motor yang aku bawa sudah hampir berdekatan dengan kawasan rumah
aku, aku akan memperlahankan kelajuan motosikal dan membawa seperti ‘perempuan’
yang cermat dan berhemah. Aku tak mahu mak akan marah jika mak tahu aku bawa
laju, tapi aku suka kerana bagiku menunggang motosikal dapat menenangkan dan
menghilangkan tekanan lebih-lebih lagi dalam kelajuan yang tinggi.
Alangkah indahnya, jika masa itu dapat
dikembalikan. Namun, apakan daya. Masa yang lalu dijadikan kenangan, masa
hadapan kita perlu rancang untuk jadi lebih baik dan berfikian lebih matang
untuk elak daripada maalah yang sama berlaku semula. Aku berjanji, saat aku
berjaya mendapatkan maksemula, aku akan kembaikan memoti indah itu semula bagai
rutin biasa misalnya mencuci motosikal dan bergurau senda serta memasak. Adanya
unsur memori indah ini membuatkan ia kian giat menjelma di fikiranku bila aku
menyambil sambil memejam mata di atas sjadah malam. Jantung berdegup kencang
bila esakkan jiwa mengatakan rinduku sedang merintih. Kuatkan aku, Ya Tuhan.
Aku tahu Kau bersamaku pada saat dan ketika ini. Saat aku buntu dan tagihkan
ketenangan.
Aku memang tiada pilihan lain, melainkan
berdoa,”Ya Allah, Kau buatlah apa sahaja asalkan aku dapat semula mak aku. Kau
lembutkanlah semula hati mak. Aku rindu mak. Jika kau akan turunkan sesuatu
ujian kepadaku hanya untuk mak sedar yang aku ingin memohon maaf kepadanya, dan
jika itulah satu-satunya cara untuk mak maafkan aku, maka aku reda. Aku rela
hati dan sanggup demi itu walaupun aku perlu bergadai nyawa. Aku rindukan
perhatian dan kasih sayangnya. Bantulah aku. Aku mohon Ya Allah. Amin ya
Rabball Alamin”, aku mengaminkan doa. Aku sujud lama mengharapkan pertolongan
agung dariNya. Berharap agar Dia mendengar rintihan aku dan semoga mak terbuka
pintu hatinya untuk memaafkan aku.
“Meow.. Meow..”
Seekor kucing tiba-tiba muncul di balik
daun pintu bilikku. Anak kucing yang keluargaku jaga sejak maknya mati
dilanggar itu seakan meminta izin untuk masuk ke kamarku. Meow datang
menghampiriku dan merendeh ke sisiku, matanya berair. Dia seolah-olah sama
seperti aku, barangkali dia merindui ibunya juga. Hibaku sedikit berkurangan
bila melihatkan haiwan kesayangan Rasulullah ini. Cukup menenangkan jiwa.
Tiba waktu membeli baju raya baru pada
hari itu. Ada jualan murah. Aku, mak abah dan adik-adikku turut serta untuk
mencari baju raya sedondon pada tahun ini. Mak mencarikan baju untuk
adik-adikku. Mak tidak memandang langsung wajahku. Aku memang tidak pandai memilih
sesuatu barang. Kebanyak barang yang aku punya, adalah semuanya atas pilihan
mak. “Mak, cek tak ada baju lagi”, kata aku. “Pergilah cari, dah besar kan”,
kata mak. Luluh hati aku bila mak berkata begitu. Sesekali aku menyekat air
mata daripada jatuh ke pipi da seringkali aku berlari mata daripada pandangan
mak supaya mak dan ahli keluargaku tidak perasan. Aku sangat mudah kecil hati
sama macam mak. aku berpura-pura mencari pakaian sendiri dan bertanya
kesesuaian baju itu dengan abah. Abah mengiayakan. Aku sedikit lega dengan
perhatian abah.
Anak kucing bewarna hitam kelabu
berbaka dragon li itu sangat suka mencakar sofa rumah, kadang-kadang mak suka
menghalaunya keluar kerana tidak suka bulu-bulu kucing melekat pada sofa. Mak
terkadang terlihat membawa penyapu dan ligan kucing itu keluar dari rumah. Aku
ketawa melihat gelagat mak dan anak kucing itu. Meow seekor yang sangat manja,
suka menggigit tangan orang, suka menunjukkan perutnya, suka bermain tali. Meow
sangat lincah. Memang, bulunya kadang-kala membuatkan hidung mak merah dan
darahnya naik mendadak. Aku ketawa nakal.
Seusai subuh pada suatu hari itu, aku
duduk seketika seperti biasa mengenang akan nasibku. Dan berfikir jalan keluar.
“Meow.. Meow.”
Ah, Meow datang. Pagi-pagi, waktu subuh
mesti ada suaranya yang seakan merayu di tepi pintu bilikku, disebabkan pintu
aku terbuka sedikit, belum sempat Meow masuk ke dalam. Aku menutup pintu. Aku
tertekan. Sangat tertekan. Meow terus memanggilku seperti hendak bermain
denganku dan duduk di sebelah aku seperti biasa. Aku menarik nafas dalam dan
panjang. Aku menangis. Masih terdengar suara Meow di luar, semakin sayu. Aku
tetap tidak membuka pintu. Lama-kelamaan, Meow sudah tidak kelihatan bila aku
menjenguk di bawah pintu untuk memerhatikannya. Entah kenapa, pagi itu aku rasa
malas hendak melayan Meow yang manja itu. Terasa aneh yang tak terkata.
Baki lagi dua minggu seluruh umat Islam
akan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Aku bersiap untuk bekerja pada
hari itu, aku mengenakan T-shirt berlengan panjang dan jeans. Aku menggayakan
tudung bawal crepe coklat ala-ala butterfly. Aku berkemas seperti anak dara
sedikit hari itu, selalunya aku berpakaian sangat ‘simple’ dan bersahaja.
Permulaan hari yang sedikit aneh bagiku, segala-galanya aneh. Bermula dari pagi
harinya dengan tidak membuka pintu tatkala anak kucing jagaan keluargaku hendak
masuk bilik sehingga ke pemakaian aku ke tempat kerja pada hari tu. Tapi aku
mengendahkan saja. Aku memanaskan enjin motosikal kesayanganku seperti biasa sebelum
mulakan perjalanan. Minyakku pulas sambil memerhati meter tangki minyak dan
meter kelajuan.
Haritu
itu cerah tapi tidak terik, cuma agak mendung sedikit. Kebiasaanya, aku
mengenakan sweater biru jenama Adidas, tetapi aku hanya memasukkan di raga
motor untuk menyembunyikan beg mini dan bekal makanan untuk ke tempat kerja.
Seperti biasa, aku bersalaman dengan mak, “cek pi dulu mak”, kata aku sambil
kaki kanan melangkah keluar daripada rumah yang sudah kuanggap syurga ini. Mak
mengikut aku sehingga pintu luar memerhati aku dari jauh. Usai aku memulaskan
minyak, mak berlalu masuk ke dalam rumah. Selesai melihat aku membawa kenderaan
ke tempat kerja, begitu rutin harian aku.
Aku
memperlahankan motor tetapi saat rumahku sudah terlindung daripada pandangan,
aku memecut laju. Tidak laju mana, 80 km/j sahaja. Ketika itu, dari jauh aku
terlihat dari satu meter kehadapan aku ternampak sebuah motosikal bergerak
sangat perlahan di hadapanku, aku memotongnya. Aku sudah lewat ke tempat kerja.
Lagi 10 minit untuk shift aku
bermula. Tiba-tiba sebuah kereta meluru dari hadapan, kereta itu tersangat
laju. Pacuan empat roda itu memasuki laluan bertentangan sedikit menyebabkan agakan
ruang aku untuk memotong motor di hadapan menjadi sempit. Aku keliru, aku cuba untuk
mengelak kereta tersebut dan pada masa yang sama aku sedang memotong motosikal
di hadapan. Aku berjaya memotong motosikal tadi tapi, malangnya kereta pula
yang melanggar di bahagian depan tayar motosikalku. Motor itu tadi aku berjaya
potong dan mujurlah penunggang itu membawa perlahan dan berhenti. Kalau tidak,
mungkin tiga kenderaan akan berlanggar. Memang satu kejadian tak dijangka
berlaku, bila satu bunyi perlanggaran dan seretan jelas kedengaran.
“Boom!”
Aku terpelanting ke sisi jalan dan
mujurlah di atas rumput. Motosikalku terseret sedikit di atas jalan. Kereta itu
membrek kecemasan dengan bunyi bingit dan kesan tayar di jalan tar setelah aku
dan motor mendarat. Enjin motorku semput-semput sebelum mati dia atas jalan.
Orang yang menunggang motosikal yang aku potong tadi aku perasan memang berhenti di seberang jalan. Aku terdengar suara-suara
orang yang semakin mendekatiku. Barangkali, itu penunggang motor tadi dan yang
membawa kereta tadi agaknya.
Pandangan mataku makin gelap. Jantungku
laju. Aku teringatkan perbuatanku kepada mak dan setiap bait doaku di atas
sejadah malam. Aku rasa, Allah telah memakbulkannya pada hari ini. Inilah ujian
itu. Aku puas dan lega, kerana aku yakin yang selepas ini aku akan dapat lihat
mak aku yang dulu. Terasa pedih dan sakit di kulit dan pandanganku terus gelap
tetapi aku masih terdengar suara orang memanggilku. Aku terdengar suara Meow. Selepas
itu, aku tak berdaya dan tidak sedarkan diri.
Di sekeliling mak kelihatan suasana
yang putih bersih. “Mak maafkan. Tapi, jangan buat lagi. Nanti mak sedih sangat”,
mak berkata dengan wajah sayu lalu aku memeluknya. Riak wajah ceria dan sayang
jelas terpapar di wajah mak waktu itu. Aku menagis dalam dakapan hangat mak
yang kurindu itu. Jelas terasa air mata mengalir. Aku mencium tangan mak. “Cek
minta maaf, cek rindu mak sangat-sangat. Cek janji cek takkan buat lagi”, aku
berkata dan mak mengangguk faham. Aku membuka mata, aku bermimpi rupanya. Aku melihat
di sekelilingku satu tempat yang sangat asing dariku. Tangan kiriku ada jarum branula, dipasangkan drip air garam atau
‘Normal Saline 0.9%’ di situ. Di sisiku ada banyak pesakit. Mak di sisiku,
terlena sambil memegang tanganku. Air mata mengalir tanpa sedar. Ya Allah,
terima kasih!
Aku menggenggam tangan mak. Aku menepuk
lemah lengan mak. Mak terjaga dari lena. Mak tersenyum. “Dah bangun anak mak. Nak
air?”, soalan pertama mak ajukan kepadaku. Aku hanya menggeleng sambil tersenyum.
Air mataku terus mengalir. Mak memelukku, dia mengusap-usap kepala aku. Aku
bersyukur, mak sudah kembali.
Hampir dua minggu aku terlantar di
hospital, mujur boleh balik beraya di rumah, kalau tidak aku terpaksa beraya
dengan ‘baju hijau’. Aku cuma mengalami luka dan menerima 5 jahitan di lengan
kanan serta retak tulang kaki. Aku mamakai plaster POP yang tidak membolehkan
aku terkena pada air. Alhamdulillah, mak menjaga aku dengan penuh kasih sayang
sepanjang aku sakit. Aku tersenyum, orang yang kurindu kini di depan mata. Ternyata,
mak masih sayangkan aku. mak sudah tidak merajuk lagi dengan aku. Syukur pada
Allah.
Kini, aku kembali sihat walaupun motor
kesayangan aku ‘tidak sedap’ bila dibawa dan anak kucing jagaan keluargaku,
Meow yang kami bela mati juga dalam kemalangan itu. Aku sedikit terkilan dengan
pemergian Meow dengan secara tiba-tiba. Aku kehilangan Meow dan aku dapat mak
dalam masa yang sama. Aku berfikir sendiri, ini adalah pelajaran dan episod
hidup yang paling bermakna yang aku dapat dalam hidup. Setiap yang datang itu
yang sementara adanya kebaikan dan di situnya jugalah adanya keburukan yang
perlu kita nilai sewarasnya. Dewasa kata, pengalaman itu mematangkan pemikiran.
Dari cerita itu juga, mengajarku erti sebuah penghargaan dan menghormati serta
taat setia. Aku tersedar tentang adanya Tuhan Yang Maha Penyayang setelah ‘terhantuk’
oleh kebuntuan yang terlampau sehingga menyebabkan aku tertekan tentangnya.
Magisnya dengan mengingati Allah, hati akan manjadi tenang. Benar, Islam itu
penyelamat. Segalanya lengkap dalam semua aspek. Kisah aku itu membuatkan aku
lebih menemui siapa Allah dan Islam itu sendiri. Bersyukurlah kita dilahirkan
dalam kalangan orang yang beragama Islam tetapi kita tetap perlu cari nur untuk menerangi iman supaya menjadi
hamba Allah yang beriman dan bertaqwa yang mukmin dan bukan orang Islam atas
dasar agama yang tertera pada kad pengenalan sahaja.
Agama itu perlu dicari, kerana agama
adalah sebuah ilmu makrifat dan panduan cara hidup yang sampai bila-bila pun tidak akan habis
dipelajari dek keluasan ilmu Allah. Allah itu Maha Bijaksana, Dia menurunkan suatu
ujian kepada hambaNya hanya untuk hamba itu kembali sedar dan rujuk serta
kembali kepada Allah, yang mencipta kerana Dia juga rindu dan sayang akan kita,
bukan hendak membebankan kita. Senyumlah bila kau menghadapi ujian kerana kau
sedang di’tawarkan’ dengan ganjaran pahala yang sangat besar kerana bersabar
dan memohon pertolongan daripada Allah SWT tatkala dalam kesulitan.
Aku harap ini kali pertama dan terakhir
aku mengguris hati mak. Aku berjanji kepada diri sendiri yang aku tidak mahu
berbuat begitu lagi selepas ini. Aku tidak kisah sekalipun dilabel sebagai ‘anak
mak’ kerana ini keistimewaan dan lubuk untuk aku terus mencintai mak dan
jauhkan aku dari terus dan cuba lukai hati mak lagi. Aku belajar untuk lebih
menghargai seperti Meow yang sentiasa dahagakan kasih sayang dan terus
meninggalkan aku di saat aku mengabaikannya, pedih dan terasa tangis ini terasa
hanya sia-sia. Bukan apa, setiap yang baik itu akan pergi, jadi hargailah semua
yang ada samada ia baik atau buruk, sebab kau tidak akan pernah tahu pengakhirannya
bagaimana dan impaknya kepada diri sendiri.
Akhir kalam, benarlah kata-kata
mutiara, reda Allah terletak pada reda ibubapa. Dan ingatlah firman Allah SWT
di dalam al Quran, surah Al-Isra’ ayat 23 hingga 24, “Dan Tuhanmu (Allah) telah memerintahkan hendaklah kamu jangan
menyembah selain dari Dia (Allah), dan hendaklah kepada kedua orang ibu-bapa
berbuat baik dengan sempurna. Jikalau salah seorang dari ibu-bapamu atau
keduanya sudah sampai kepada umur tua, janganlah sekali-kali kamu berkata,
‘Ah!’ kepada mereka. Dan jangan (pula) kamu menengking mereka. Dan ucapkanlah
kepada mereka perkataan yang sopan (dan hormat)”(23). “Dan berbaktilah kepada
keduanya dengan perasaan kasih sayang (yang mendalam) dan ucapkanlah, ‘Wahai
Tuhanku (Allah) ! Kasihanilah keduanya (ibubapaku) sebagaimana mereka telah
mendidikku sewaktu kecil”(24).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan